| Muqaddimah |
|
Sejarah Penubuhan Penubuhan sebuah Alumni untuk semua pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu adalah tunas idea Encik Nurrizal Ahmad Imran (SPM 1990). Ahli Jawatankuasa Pro-Temp atau Penaja telah dipilih untuk melaksanakan pelbagai tugas untuk menubuhkan Alumni ini. Nama Ittihad Khirriji Al-Ma'had Al-Islami Al-Fidrali (IKMAL) telah dipersetujui oleh semua ahli Jawatankuasa Pro-Temp yang hadir di mesyuarat bertarikh 21 Mac 1999 bertempat di kampus Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Nama IKMAL telah dicadangkan oleh Puan Adibah Abdul Ghafar (SPM 1990) dan disemak nahunya oleh Encik Ezad Azraai Jamsari (SPM 1990). Namanya telah diubah kepada Al-Ittihad Li Khirriji Al-Ma'had Al-Islami Al-Fidrali pada Mesyuarat Agung IKMAL yang pertama pada 2 Oktober 1999 hasil teguran Tn Haji Muhammad Zahidi Hj Arifin (STPM 1986). Satu pertandingan logo IKMAL telah diadakan di SMAP dengan bantuan Puan Zainab, guru di SMAP yang juga merupakan seorang bekas pelajar SMAP. Logo IKMAL telah dipilih oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pro-Temp IKMAL. Logo tersebut adalah rekaan adik Salwa Mohd Hadi dan ubahsuai oleh Encik Nurrizal Ahmad Imran. Penaung IKMAL yang pertama ialah Yang Berbahagia Dato' Mohd Desa Pachi, Pengerusi Commerce Asset Holdings Berhad. Anak beliau, Mohd Rizal Mohd Desa, adalah bekas pelajar SMAP (SPM 1991). Beliau telah bersetuju untuk menjadi Penaung IKMAL setelah perbincangan dibuat di rumah beliau pada 20 Mei 1999. Pendaftaran IKMAL telah diajukan secara rasminya kepada Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 26 Mei 1999. Perlembagaan IKMAL pada hari ini telah diubahsuai mengikut kehendak Pendaftar Pertubuhan Malaysia untuk membolehkan IKMAL didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah pertubuhan berdaftar menurut undang-undang. |


